KUALA NERUS: Terengganu FC bangkit dari ketinggalan untuk mengalahkan Pahang 2-1 dalam aksi ‘derby’ Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu memastikan anak-anak buah Mohd. Nafuzi Zain menamatkan Liga Super musim ini di tangga ketiga di belakang Johor Darul Ta’zim dan Kedah dengan memungut 19 mata.
Awal permainan disajikan peluang terbaik Terengganu FC menerusi bola lambungan Lee Tuck pada minit ke-10 singgah di kaki Dominique Da Sylva, namun sepakan lemahnya ditepis Helmi Eliza Elias.
Kesempatan itu diambil Pahang untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan jarak jauh Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim yang mengelirukan penjaga gol tuan rumah, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-12.
Memasuki minit ke-15, kedudukan menjadi 1-1 setelah Terengganu FC diberikan sepakan penalti ekoran kekasaran Helmi ke atas Da Sylva dan pintu gol Pahang sekali lagi diuji selang empat minit kemudian.
Bersambung ke babak kedua, kepincangan Pahang terus memberi ruang buat skuad penyu yang memiliki peluang menambahkan jaringan, namun tandukan Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-55 sekadar tersasar.
Enam minit selepas itu Terengganu FC hampir memperoleh gol kedua tetapi usaha Da Sylva dinafikan Helmi.
Serangan bertali arus tuan rumah membuahkan hasil apabila hantaran leret Azam Azmi Murad dari sebelah kanan disambar Lee Tuck pada minit ke-82 dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat.