LONDON: Mesut Ozil menawar diri untuk membayar gaji Gunnersaurus bagi membolehkan dia terus menjadi maskot Arsenal selepas menjadi mangsa pemotongan kos akibat Covid-19.
Jerry Quy bekerja sebagai maskot Arsenal sejak 27 tahun lalu tapi dia terpaksa dilepaskan pada ‘hari akhir perpindahan’ kerana tiada penyokong dibenarkan ke stadium menyaksikan perlawanan.
Menerusi Instagram, Ozil menulis: “Saya sangat sedih Jerry Quy atau maskot kami yang popular dan terkenal -Gunnersaurus yang menjadi sebahagian daripada kita tidak lagi diperlukan selepas 27 tahun.
“Kerana itu, saya menawar diri untuk membayar Arsenal gaji penuh watak hijau kami itu, selagi saya bergelar pemain di sini. Jadi Jerry boleh terus melakukan tugas yang amat disukai.”
Beberapa penyokong Arsenal sudah bercakap mengenai keputusan kelab itu dengan bekas bintang Gunners, Paul Merson mengakui ia ‘menyedihkan’. – AFP