KUALA LUMPUR: Sebanyak 130 pasukan bakal berentap dalam saingan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) yang akan membuka tirai pada 9 Januari depan.
Pengasas liga tersebut, Khairul Anuar Jailani berkata, terdapat tiga lokasi bagi NCBL 2021 melibatkan Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kwong Hon dan Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).
Tambahnya, Pusat Pakaian Hari-Hari Sdn. Bhd. sekali lagi menjadi penaja NCBL bagi edisi ke-16 itu dengan jumlah penajaan sebanyak RM60,000 untuk tempoh selama dua tahun.
“Sukacita dan penghargaan di atas penajaan dan sokongan berterusan Pusat Pakaian Hari-Hari. Melalui penajaan berterusan dari pelbagai pihak, liga ini akan berlangsung dengan jayanya.
“Di samping itu, NCBL juga sebagai medan melahirkan pemain berbakat dan seterusnya dapat mengembangkan sukan bola keranjang sebagai salah satu sukan popular dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.
Khairul berkata demikian selepas majlis penajaan tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Shah Alam, baru-baru ini.
Daripada 130 pasukan itu, ia akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki divisyen satu hingga empat; wanita divisyen satu dan dua; lelaki veteran; dan lelaki remaja bawah 18 tahun (B-18) serta B-15.
Juara keseluruhan liga ini akan membawa pulang Piala Kejuaraan Menteri Besar Selangor dan wang tunai sebanyak RM5,000, manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,500 dan RM 1500.