KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap agar semua atletnya mengekalkan kecergasan pada tahap optimum biarpun terdapat kekangan dari segi latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 14 hingga 27 Oktober ini.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, semua atlet negara yang mengikuti sesi latihan akan ditempatkan di asrama Majlis Sukan Negara (MSN) dan mereka perlu mematuhi setiap garis panduan serta arahan yang sudah ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, mungkin akan terdapat juga atlet mereka yang mendapat kebenaran untuk berlatih secara sendirian, namun perlu mengemukakan laporan kepada MSN dan jurulatih.
“Jika ada di antara mereka mendapat kebenaran untuk meneruskan latihan secara bersendirian, MPM mengingatkan agar atlet ini sentiasa memberi kerjasama kepada MSN.
“Mereka juga harus mengemukakan laporan latihan serta maklumkan pergerakan mereka kepada jurulatih termasuk MSN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Memgulas lanjut, MPM turut menyokong penuh keputusan untuk program latihan berpusat buat atlet negara diteruskan secara tertutup dan terkawal sepanjang tempoh PKPB yang berlaku di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“MPM melihat program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal merupakan perancangan SOP (prosedur operasi standard) terbaik untuk atlet meneruskan latihan secara terkawal bagi tempoh satu atau dua tahun ini.
“Kredit perlu diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana telah menyediakan SOP ini,” katanya.