TURIN: Cristiano Ronaldo berang diketepikan dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona pagi tadi hingga menyebabkan Juventus tewas 0-2 di tempat sendiri.
Ronaldo diuji positif Covid-19 dua minggu lalu, namun dia bersedia diturunkan dalam perlawanan di Turin.
Penjaring terbanyak dalam sejarah kejohanan kelab elit Eropah itu (130 gol) perlu diuji negatif 24 jam sebelum boleh bermain.
Tanpa Ronaldo, seteru utamanya, Lionel Messi menyerlah apabila mencipta gerakan gol, selain mencetak nama sebagai penjaring.
Messi, 33, melakukan hantaran untuk gol pembukaan Barca yang disempurnakan Ousmane Dembele pada minit ke-15, sebelum menyempurnakan penalti di waktu kecederaan.
Juventus pula bernasib malang apabila tiga gol Alvaro Morata dibatalkan kerana ofsaid, malah tuan rumah mengharungi lima minit terakhir dengan 10 pemain selepas Merih Demiral dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.
Barcelona merampas kedudukan teratas Kumpulan G dengan enam mata selepas dua perlawanan manakala Juventus tiga mata. – AFP