LONDON: Mercedes menikmati penguasaan penuh dalam kejuaraan Formula Satu (F1), malah meninggalkan pencabar utama, Red Bull dengan kelebihan 250 mata pada kedudukan pengeluar dunia.
Pada ketika pasukan itu semakin hampir merangkul kejuaraan pengeluar dunia kelapan, dominasi Mercedes dikhuatiri menyebabkan saingan F1 kurang seri.
Bekas pemegang hak komersial F1, Bernie Ecclestone yang menyambut hari lahir ke-90, Rabu lalu mendedahkan, dia antara orang yang bertanggungjawab apabila semua itu berlaku.
Dalam wawancara bersama Sport 1, tokoh perniagaan dari England tersebut mengakui, menyesal memperkenalkan penggunaan enjin hibrid dalam F1.
“Sejak enjin hibrid diperkenalkan, Mercedes tidak boleh dikalahkan.
“Ketika itu, saya bersetuju untuk menggunakan enjin tersebut tetapi tidak lama kemudian saya menyedari ia satu kesilapan besar.
“Saya cuba mengubahnya sekali lagi tetapi ia tidak diendah,” katanya.
Bukan Ecclestone sahaja mengakui kehebatan Mercedes di pentas F1, malah semua pasukan hampir berputus asa untuk mengejar mereka.
Baru-baru ini, Prinsipal Red Bull, Christian Horner mengakui, Mercedes memiliki kereta paling lengkap dalam era sekarang.
Penguasaan Mercedes dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga 2022 selagi peraturan sedia ada masih terpakai.
Pemandu Britain, Lewis Hamilton hanya menunggu masa untuk dinobat sebagai juara dunia buat kali ketika, manakala Veltteri Bottas melengkapkan penguasan 1-2 Mercedes di kedudukan pemandu dunia. – AGENSI