IPOH: Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic menyahut cabaran untuk membawa Bos Gaurus muncul juara Piala Malaysia yang bakal memulakan saingan pada 6 November ini.
Katanya, sasaran yang diletakkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu perkara baik untuk pasukannya.
Beliau berkata, sasaran itu diharap akan dijadikan motivasi oleh setiap pemain untuk beraksi dengan baik.
“Siapa tidak mahu jadi juara, sudah tentu kami akan mencuba sedaya upaya mencapai sasaran memenangi saingan tahun ini.
“Satu lagi sebab mengapa Perak ingin muncul juara ialah kerana juara trofi berprestij ini akan merebut slot beraksi dalam Piala AFC 2021,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu hari ini, Ahmad Faizal menyasarkan untuk Perak muncul juara Piala Malaysia.
Menurutnya, sasaran itu dianggap realistik berbekalkan persiapan dan latihan rapi yang direncanakan barisan kejurulatihan.
Beliau berkata, persiapan pasukan berjalan dengan baik dan mengakui berasa lega apabila beberapa pemain utama yang cedera telah sembuh dan kembali menjalani latihan penuh.
“Apabila bermula kempen Piala Malaysia, saya yakin Perak dapat berikan cabaran yang cukup hebat sekaligus membawa pulang piala ini ke Ipoh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan Hoki dan Kriket Negeri Perak di sini hari ini.
Kali terakhir Perak menjulang Piala Malaysia adalah pada 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.