LONDON: Selepas gagal mendapatkan Jadon Sancho, Manchester United akhirnya beralih kepada penyerang veteran, Edinson Cavani yang ditandatangani secara percuma.
Red Devils yang membuat lima pembelian pada hari terakhir jendela perpindahan semalam dijangka memberi penghormatan kepada Cavani untuk memakai jersi No. 7.
Cavani masih memegang rekod penjaring terbanyak Paris Saint-Germain (PSG) dengan 200 gol sepanjang tujuh tahun bersama juara Perancis itu sebelum pergi secara percuma pada Jun lalu.
Dia akan mengikuti jejak legenda United seperti George Best, David Beckham, Eric Cantona dan Cristiano Ronaldo yang diberi penghormatan memakai jersi ikonik itu.
Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu, jersi No. 7 seakan-akan mempunyai ‘sumpahan’ apabila si pemakai gagal menyerlah dan akhirnya ‘ditendang’.
Memphis Depay dan Alexis Sanchez dua pemain terakhir yang memakai jersi No. 7, dan kedua-duanya gagal memenuhi pengharapan tinggi sebelum akhirnya meninggalkan Old Trafford bersama kekecewaan.
Cavani bagaimanapun sudah bersedia untuk memenuhi pengharapan besar Red Devils, yang amat terdesak untuk menguatkan jentera serangan selepas menampilkan aksi goyah pada awal musim.
“Manchester United antara kelab terhebat di dunia, jadi ia satu penghormatan buat saya dapat berada di sini. Saya sentiasa bekerja keras meskipun ketika tidak memiliki pasukan.
“Saya tidak sabar untuk memulakan karier bersama United,” kata Cavani dalam satu kenyataan semalam.
SEJARAH JERSI NO. 7 UNITED
Alexis Sanchez (2018-2019)
Penampilan : 45
Gol : 5
Trofi : Tiada
Memphis Depay (2015-16)
Penampilan : 53
Gol : 7
Trofi : Tiada
Angel Di Maria (2014-2015)
Penampilan : 32
Gol : 4
Trofi : Tiada
Antonio Valencia (2012-13)
Penampilan : 339
Gol : 25
Trofi : Liga Perdana (2), Piala FA (1), Piala Liga (2), Liga Europa (1)
Michael Owen (2009-2012)
Penampilan : 52
Gol : 17
Trofi : Liga Perdana (1), Piala Liga (1)
Cristiano Ronaldo (2003-2009)
Penampilan : 292
Gol : 118
Trofi : Liga Perdana (3), Piala FA (1), Piala Liga (2), Liga Juara-Juara (1), Piala Kelab Dunia (1), Ballon d’Or (1), Pemain Terbaik Dunia FIFA (1), Pemain Terbaik Penulis Bola Sepak (2)
David Beckham (1997-2003)
Penampilan : 394
Gol : 85
Trofi : Liga Perdana (6), Piala FA (2), Liga Juara-Juara (2), Piala Antara Benua (1)
Eric Cantona (1992-1997)
Penampilan : 185
Gol : 93
Trofi : Liga Perdana (4), Piala FA (2), Pemain Terbaik PFA (1), Pemain Terbaik Penulis Bola Sepak (1)
Bryan Robson (1981-1994)
Penampilan : 461
Gol : 99
Trofi : Liga Perdana (2), Piala FA (4), Piala Liga (1), Juara Di Antara Juara Eropah (1), Piala Super Eropah (1)
George Best (1963-1974)
Penampilan : 474
Gol : 181
Trofi : Liga Perdana (2), Piala Eropah (1), Pemain Terbaik Penulis Bola Sepak (1), Ballon d’Or (1)