KUALA LUMPUR: Biarpun hanya beraksi selama 16 minit, namun merasai pentas liga utama di Eropah buat kali pertama pengalaman menakjubkan buat Luqman Hakim Shamsudin.
Luqman, 18, akhirnya membuat penampilan profesional pertama dalam kariernya, malah lebih manis dia bersemuka dengan superstar Belgium, Vincent Kompany yang membimbing Anderlecht.
“Perasaan teruja sangat. Kita sebagai pemain kalau bertemu pasukan yang bagus memang seronok.
“Saya teruja dapat bertemu Vincent Kompany. Dia bintang pertahanan Manchester City yang terkenal.
“Saya bangga dapat bersalaman dengannya,” kata Luqman kepada Mingguan Malaysia.
Masuk pada minit ke-74, Luqman gagal membantu Kortrijk yang tumpas 1-3 kepada Anderlecht dalam Liga Pro Belgium.
Begitupun merasai pengalaman bola sepak profesional – sesuatu yang tidak pernah dilakukan di Malaysia pengalaman amat berharga.
“Mulanya agak sukar (bermain di Belgium) kerana susah nak berkomunikasi tetapi pemain-pemain senior dan jurulatih banyak membantu serta berkongsi ilmu,” katanya.
Luqman yang baru menyertai Kortrijk, Ogos lalu berjaya memikat pengurusan pasukan sepanjang tiga aksi bersama skuad bawah 21 tahun yang menyaksikan dia meledak tiga gol dalam saingan persahabatan.