KUALA LUMPUR: Selepas perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini dibatalkan akibat Covid-19, virus itu dikhuatiri ‘berjangkit’ ke Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadualkan berlangsung 30 Januari depan.
Ketika Covid-19 di tanah air tidak menunjukkan penurunan, persoalan lain juga timbul adakah terdapat pasukan bertaraf WorldTeam yang kebanyakannya dari Eropah ingin datang ke Malaysia untuk menyertai LTdL?
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab berkata, mahu tidak mahu LTdL 2021 perlu membawa sekurang-kurangnya satu WorldTeam bagi mengekalkan status ProSeries kejohanan tersebut.
“Saya tak boleh nak cakap kalau tiada WorldTeam, LTdL akan dibatalkan, atau kalau mereka tak datang, kita akan teruskan kejohanan ini namun kita turunkan kelas ke 2.1 atau 2.2.
“Tidak…tak boleh! Kita perlu kekalkan status LTdL ini. Banyak perlumbaan lain di Asia berebut mahukan status ini, kita perlu pertahankan.
“Kalau nak bawa satu WorldTeam saya rasa tiada masalah, namun KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dah tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) (KPI) kepada pengajur (Human Voyage (M) Sdn Bhd) LTdL tahun depan perlu bawa tiga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abu Samah turut memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Human Voyage dan KBS pada Disember depan bagi membincangkan tentang kedudukan LTDL 2021.
“Kami tidak boleh memberi jaminan sama ada LTdL boleh dijalankan atau tidak pada ketika negara sedang bergelut dengan wabak Covid-19″Kita kena tunggu mesyuarat seterusnya pada Disember ini. Kami harap ia dapat diteruskanlah mengikut jadual yang ditetapkan dari 30 Januari hingga 6 Februari 2021.
“Kalau ada perubahan tarikh, sukar untuk kami ‘kunci’ tarikh baharu sebab jadual semakin padat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abu Samah berkata, pihaknya tiada masalah untuk menganjurkan LTdL yang memasuki edisi ke-26 itu dalam suasana pandemik Covid-19.
“Tour de France, Giro d’Italia, kedua-dua ini perlumbaan besar dan mereka tetap melangsungkannya. Sama seperti kami, ada SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi.
“Jadi, tiada masalah sebab kami juga pernah menganjurkan Kejohanan Lebuhraya Kebangsaan di Melaka baru-baru ini,” katanya.