KUALA LUMPUR: Logo baharu Kelantan FC yang memaparkan seekor rusa dengan warna rasmi bendera negeri, merah putih mencuri tumpuan penyokong The Red Warriors (TRW).
Logo ciptaan Muhammad Afiff Hakimi Anuar itu memenangi pertandingan mencipta logo yang dianjurkan Kelantan.
Menurut Facebook TRW Kelantan FC, logo itu dipilih sendiri oleh pemilik kelab, Norizam Tukiman.
“Pemenang utama akan membawa wang tunai RM3,000.
“Bagi logo yang terpilih dalam senarai 10 terbaik akan menerima jersi eksklusif dari TRW Kelantan FC.
“Logo yang dipilih bukan logo muktamad tetapi akan diubah mengikut kesesuaian dan citarasa pemilik TRW Kelantan FC,” tulis Kelantan FC semalam.
Logo ciptaan Muhammad Afiff itu mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong TRW, namun rata-rata meminta kelab menukar rusa menjadi kijang yang merupakan identiti sebenar Kelantan.
Bagaimanapun secara keseluruhan, kebanyakan penyokong ‘berkenan’ dengan logo tersebut dan hanya meminta TRW membuat sedikit penyesuaian untuk menjadikannya lebih menarik.
Logo tersebut juga mempunyai maksud tersendiri, contohnya 10 belang merah yang sinonim dengan warna bendera Kelantan mewakili 10 daerah di negeri itu yang bergabung menyokong kebangkitan bola sepak Kelantan.