GENEVA: Bayern Munich menguasai anugerah bola sepak Eropah apabila Robert Lewandowski serta Hansi Flick dinobat sebagai Pemain dan Jurulatih Terbaik 2019/2020.
Lewandowski meledak 55 gol dalam 47 perlawanan bagi membantu Bayern muncul juara Eropah, Bundesliga dan Piala Jerman, sebelum melengkapkan musim gemilang dengan menjulang Piala Super Eropah serta Piala Super Jerman.
Penyerang Poland itu mengatasi saingan rakan sepasukan, Manuel Neuer dan bintang Manchester City, Kevin de Bruyne untuk memenangi anugerah tersebut.
“Satu perasaan yang sangat hebat kerana anda bekerja keras, jadi trofi ini amat istimewa.
“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak membantu sehingga ke tahap ini. Juga kepada keluarga yang memberi sokongan padu,” kata Lewandowski.
Dia menerima anugerah itu di Geneva ketika sesi undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Lewandowski turut dinobat sebagai penyerang terbaik musim lalu selepas menjaringkan 15 gol dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara.
Dia meledak empat gol dalam tempoh 14 minit ketika menentang Red Star Belgrade.
Pemain berusia 32 tahun itu turut muncul penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu dengan 34 gol dan ia kali kelima sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada 2014. – AGENSI