LONDON: West Ham merosakkan kepulangan semula Gareth Bale ke Tottenham apabila mempamer kebangkitan hebat mengikat perlawanan 3-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Aston Villa yang masih segar dengan kejayaan membelasah Liverpool 7-2 meneruskan kecemerlangan apabila menundukkan satu lagi bekas juara, Leicester City 1-0.
Tottenham mendahului 3-0 ketika Bale dibawa masuk pada minit ke-72, penampilan pertamanya sejak dipinjamkan semusim daripada Real Madrid.
Bagaimanapun dia mengharungi debut yang pasti meninggalkan kenangan pahit apabila gagal membantu Spurs mempertahankan kelebihan yang dimiliki.
Bintang Wales itu juga antara yang perlu dipersalahkan apabila terlepas peluang terbaik untuk mencipta kemenangan sebelum pemain West Ham, Manuel Lanzini menyamakan kedudukan pada lewat permainan.
Tottenham mendahului hanya selepas 45 saat apabila Son Heung-min dan Harry Kane bergabung mencipta gol buat kali ketujuh musim ini.
Kane kemudian menggandakan kedudukan pada minit kelapan selepas mengatasi Declan Rice dan menyepak bola ke penjuru pintu gol.
Permulaan baik Tottenham berterusan dengan gol ketiga pada minit ke-16 selepas kapten England, Kane menanduk hantaran Sergio Reguilon untuk jaringannya ke-10 musim ini.
West Ham bagaimanapun lebih menyerlah selepas Bale dimasukkan menggantikan Steven Bergwijn.
Fabian Balbuena meledak gol hasil hantaran Aaron Cresswell selepas 82 minit dan Davinson Sanchez menanduk bola ke gawang sendiri hasil hantaran Vladimir Coufal tiga minit kemudian yang menyebabkan Tottenham panik.
“Perlawanan terkawal. Harry Kane boleh menjaringkan gol keempat tetapi terkena palang, kemudian kami mengharapkan Gareth Bale untuk menamatkan saingan.
“Perlawanan ini sepatutnya sudah dalam tangan dan kami hilang dua mata,” kata Pengurus Tottenham, Jose Mourinho.
Di Stadium King Power, Villa menunggu sehingga minit ke-90 untuk melakar kemenangan keempat berturut-turut musim ini.
Ross Barkley yang dipinjamkan daripada Chelsea menyambut hantaran John McGinn sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gawang tuan rumah.
Hanya beberapa bulan selepas berjaya mengelak dari zon penyingkiran, Villa kini menduduki tangga kedua liga di belakang Everton. – AFP