NEW YORK: Catatan lima birdie pada enam lubang terakhir membolehkan pemain Korea Selatan, Kim Sei-young merampas kedudukan pendahulu pusingan kedua Kejuaraan PGA Wanita dengan kelebihan satu pukulan hari ini.
Sei-young, 27, yang memburu kejuaraan utama pertamanya mencatat lima bawah par 65 untuk mengumpul 136 pukulan, empat bawah par di Kelab Golf Aronimink dekat Newtown Square, Pennsylvania.
“Saya berusaha meletakkan bola hampir dengan lubang untuk mengurangkan tekanan, ia banyak membantu.
“Saya kekal fokus sepanjang permainan dan secara jujur, saya langsung tidak melihat papan markah kerana saya tahu saya berada pada momentum yang baik ketika itu,” kata Sei-young.
Sementara itu pemain sensasi Malaysia yang berkongsi kedudukan pendahulu pada hari pertama, Kelly Tan gagal mengulangi kecemerlangan semalam apabila mencatat satu atas par 71 untuk mengumpul 138 pukulan, dua bawah par.
Kelly, 25, berkongsi kedudukan keenam bersama empat pemain lain, iaitu Ashleigh Buhai, Lydia Ko, Lauren Stephenson dan Linnea Strom. – AFP