KOTA BHARU : Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memikul tanggungjawab untuk melangsaikan tunggakan hutang yang masih berbaki jika wang penjualan The Red Warriors (TRW) kepada Norizam Tukiman sebelum ini tidak mencukupi.
Setiausaha Agung KAFA Husin Deraman berkata, bayaran berjumlah RM6.8 juta itu mengikut perjanjian yang termaktub semasa proses pengambil alihan pasukan Kelantan antara pihaknya dengan Norizam atau Zamsaham.
Menurutnya, bayaran berjumlah RM6.8 juta itu melibatkan usaha-usaha untuk mendapatkan lesen bagi memastikan The Red Warriors (TRW) dapat bersaing di Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
“Jika dihitung keseluruhan hutang KAFA berjumlah RM8 juta.
“Kita akan berusaha sedaya upaya untuk melangsaikan baki hutang-hutang itu selepas ini yang melibatkan stadium dan beberapa agensi berkaitan,” katanya kepada Utusan Malaysia disini hari ini.
Semalam sebuah portal melaporkan Zamsaham hanya akan melunaskan bayaran hutang TRW berjumlah RM6.8 juta sahaja sebagaimana termaktub dalam perjanjian antara kedua-dua pihak.
Hussin memberitahu, setakat ini bayaran tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dimana ia perlu dilunaskan sebelum penghujung Disember 2020.
Sementara itu, Zamsaham berkata, semua hutang melibatkan TRW akan dilunaskan mengikut perjanjian yang telah dibuat.
Katanya, ketika ini dia lebih selesa untuk memikirkan soal memperkasakan TRW dan pelan pembangunan pasukan.
“Fokus utama saya ialah untuk memulihkan TRW dan kembali menjadi pasukan lebih baik serta kuat selepas ini,” katanya