ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengalami kehilangan pendapatan sekurang-kurangya RM35 juta tahun ini susulan pandemik Covid-19.
Pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap situasi ekonomi dapat pulih segera, sekali gus mendatangkan kesan positif kepada pendapatan JDT.
“Kalau ada pemulihan daripada segi ekonomi, kewangan JDT boleh pulih dalam antara satu hingga dua tahun.
“Saya rasa dalam masa mencabar Covid-19 ini, kelab pun terkesan daripada kemampuan kewangan, ini satu dugaan amat besar. Jadi tahun depan kami kena lebih berjimat,” kata Tunku Ismail dalam sidang akhbar JDT di Ibu Pejabat JDT di sini hari ini.
Kata Tunku Ismail, sasaran JDT untuk menjadikan nilai kelab mencecah RM1 bilion hampir mencapai matlamat dan ia dijangka dicapai pada pertengahan tahun depan.
“Buat masa kini ada empat syarikat antarabangsa yang berminat, saya tidak boleh dedahkan nama buat masa ini dan ia bukan sahaja berniaga dalam stadium, tetapi menguruskan stadium serta menaja pasukan.
“Benda ini amat positif apabila kelab kami bina ini JDT mendapat sambutan hebat oleh syarikat luar negara,” katanya.