KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengajak rakyat Malaysia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes Covid-19.
“Kawan-kawan, kes semakin banyak. Ingat, mesti pakai mask (pelitup muka) bila keluar. Ikut SOP. Imbas (aplikasi) MySejahtera. Jangan sampai kena sebat,” kata bekas pemain No. 1 dunia itu dalam Instagram miliknya hari ini.
‘Jangan sampai kena sebat’ dilihat merujuk kepada perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam ekoran peningkatan kes yang berlaku ketika ini.
“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan rotan! Marilah kita hadapi perang menentang Covid-19 secara bersama.
“Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 sebelum ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi,” kata Muhyiddin dalam perutusannya.
Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia menghampiri 14,000 selepas mencatat 489 kes baharu.