KUALA LUMPUR: Seperti dijangka ketika pandemik Covid-19 masih belum reda, dua pasukan yang dahulu pernah mewarnai kancah bola sepak negara, Felda United dan UKM FC disahkan tidak lagi bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi musim depan.
Berita sedih tersebut itu disampaikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mendapati dua pasukan terbabit gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.
“Keadaan tersebut menyebabkan Felda dan UKM tidak layak untuk menyertai pertandingan anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi musim 2021, sama ada Liga Super mahupun Liga Perdana,” kata FAM dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Terdahulu setelah proses penswastaan FC bersyarikat berakhir pada 30 September 2020, FAM pada 5 Oktober 2020 mengumumkan status proses penswastaan FC bersyarikat kesemua 21 pasukan termasuk Felda United dan UKM FC.
Walaupun Felda dan UKM telah pun menyelesaikan proses penswastaan, namun perkembangan negatif pada masa itu berkaitan sokongan korporat dan pendanaan kedua-dua pasukan secara tiba-tiba muncul.
Ia memaksa FAM untuk meminta penjelasan serta dokumentasi lebih lanjut daripada mereka, dengan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih Felda dan UKM perlu menyerahkan kedudukan semasa kewangan mereka kepada badan induk tersebut pada 19 Oktober lalu.
“FAM telah mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan ini mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin.
“Keputusan ini juga bagi mengelakkan permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim,” ujar FAM.