LONDON: Everton tidak pernah mengalahkan Liverpool sejak 10 tahun lalu, namun pertemuan ke- 288 antara dua musuh berjiran di Goodison Park hari ini agak berbeza.
Reds hadir bersama imej yang tercalar selepas dimalukan 7-2 oleh Aston Villa dalam aksi terakhir Liga Perdana, 5 Oktober lalu pada ketika Everton gah menerajui liga dengan menang semua empat perlawanan.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengagumi transformasi yang dibawa jurulatih Everton, Carlo Ancelotti.
“Everton amat sempurna selepas membawa masuk beberapa pemain yang tepat.
“Kombinasi (Dominic) Calvert-Lewin, James (Rodriguez) dan Richarlison menjadi kekuatan Everton,” kata Klopp.
Klopp pasti lega kembali mendapat sentuhan Thiago Alcantara dan Sadio Mane yang sudah pulih daripada jangkitan Covid-19.
EMPAT FAKTA TUMPUAN EVERTON-LIVERPOOL
CALVERT–LEWIN ANCAMAN TERBESAR LIVERPOOL
Everton meledak 24 gol (semua pertandingan) musim ini dan sembilan daripada jaringan itu disempurnakan Dominic Calvert-Lewin, termasuk dua hatrik.
Calvert-Lewin, 23, memiliki ciri-ciri untuk menjadi penyerang terbaik – saiz, mobiliti, kepantasan dan teknik. Dia boleh melakukan tendangan sempurna dari kedua-dua belah kaki.
REDS TUNGGU PICKFORD BUAT SILAP
Bijak menghukum kelemahan lawan antara kepakaran Liverpool. Menurut data Opta, daripada 33 kesilapan yang dilakukan lawan, 10 menghasilkan gol buat Reds.
Penjaga gol, Jordan Pickford kelemahan terbesar Everton. Pickford telah melakukan 11 kesilapan yang memberi gol kepada lawan sejak 2018. I’m
MINA KEBIMBANGAN UTAMA ANCELOTTI
Kecederaan paha Yerry Mina ketika membawa cabaran Colombia meletakkan kedudukannya 50-50 untuk diturunkan hari ini.
Jika bek tengah itu gagal pulih, Everton dijangka menurunkan pemain baharu, Ben Godfrey buat kali pertama sejak tiba dari Norwich City.
SALAH CERGAS TETAPI TIDAK FIRMINO, FABINHO
Mohamed Salah antara pemain paling cergas kerana tidak mempunyai tugasan antarabangsa.
Roberto Firmino dan Fabinho menjadi kebimbangan selepas mengharungi perjalanan jauh kerana membantu Brazil dalam kelayakan Piala Dunia 2022 zon Amerika Selatan.
Diogo Jota (Portugal), Georginio Wijnaldum dan Virgil van Dijk (Belanda) juga baru kembali dari tugasan antarabangsa.