PARIS: Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic meneruskan pemburuan kejuaraan tenis Terbuka Perancis selepas melangkah ke suku akhir buat kali ke-11 berturut-turut hari ini.
Juara 2016 dan pilihan utama dari Serbia itu menang 6-4, 6-3, 6-3 ke atas pilihan ke-15 dari Rusia, Karen Khachanov, sekali gus menyamai rekod Rafael Nadal iaitu membuat penampilan ke-14 di Roland Garros.
Djokovic berdepan cabaran paling getir setakat ini, namun Khachanov masih gagal untuk menghalangnya daripada meneruskan misi menjadi pemain pertama dalam tseparuh abad memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam sebanyak dua kali.
“Ia adalah perlawanan yang seimbang. Saingan sebenarnya lebih sukar berbanding keputusan yang anda lihat di atas kertas,” kata Djokovic yang memburu gelaran Grand Slam kali ke-18.
Kemenangan itu dilakar dua minggu selepas insiden Djokovic disingkirkan daripada Terbuka Amerika Syarikat (AS) kerana memukul bola dalam keadaan marah sebelum mengenai pengadil garisan wanita.
Djokovic kini akan berdepan Pablo Carreno Busta, pemain yang mendapat kemenangan percuma selepas Djokovic disingkirkan dari Terbuka AS.
Carreno Busta mengetepikan pemain dari peringkat kelayakan dari Jerman, Daniel Altmaier dalam aksi tiga set.
Stefanos Tsitsipas berjaya mengetepikan masalah sakit mata untuk menjadi pemain Greece pertama mara ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menang 6-3, 7-6 (11/9), 6-2 ke atas Grigor Dimitrov.
Pemain berusia 22 tahun itu akan berdepan Andrey Rublev mengulangi aksi final di Hamburg yang menyaksikan dia berjaya muncul juara. – APF