LONDON: Ben Chilwell menjadi inspirasi Chelsea apabila meledak gol pertamanya bersama Blues dan membantu kelab London itu membenam Crystal Palace 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Baru pulih daripada kecederaan menyebabkan Chilwell memulakan musim pertamanya bersama Chelsea agak lewat sejak melengkapkan perpindahan bernilai 50 juta pound (RM269.3 juta) dari Leicester, Ogos lalu.
Bagaimanapun bek kiri England itu mempamer impak sebaik sahaja dibenarkan beraksi menerusi permainan cemerlang pada penampilan ketiga bersama Blues – dua kemunculan terdahulu dalam saingan Piala Liga.
Biarpun membariskan barisan serangan bernilai jutaan ringgit, namun pemain pertahanan, Chilwell yang berjaya mengucar-kacirkan Crystal Palace di Stamford Bridge.
Selepas barisan serangan Chelsea gagal memecah kebuntuan dan terikat 0-0 pada babak pertama, Chilwell membuka jaringan Chelsea, lima minit selepas separuh masa kedua bersambung.
Dia kemudian mengumpan bola kepada Kurt Zouma yang menanduk gol kedua Blues pada minit ke-66.
Dua lagi gol Chelsea diperoleh menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jorginho pada minit ke-78 dan 82. – AFP