LONDON:Dominic Calvert-Lewin meletakkan dirinya pada tahap tahap berbeza selepas meledak gol dalam penampilan pertama bersama England ketika menewaskan Wales 3-0 pada perlawanan persahabatan hari ini.
Penyerang Everton itu menjaringkan gol pembukaan Three Lions di Wembley, iaitu jaringan peribadi ke-10 musim ini selepas meledak sembilan gol buat Everton sepanjang enam perlawanan.
Pertahanan tengah Wolverhampton, Conor Coady turut cemerlang meledak gol dalam penampilan pertama bersama England, sekali gus menggandakan kedudukan 2-0.
Bintang penyerang Southampton, Danny Ings melengkapkan kemenangan 3-0 dengan menambah jaringan tuan rumah pada minit ke-63.
“Prestasinya sangat baik. Dia (Calvert-Lewin) bermula cemerlang. Lariannya mengancam lawan, memberi tekanan serta menghasilkan gol.
“Dia berada pada prestasi terbaik. Saya suka setiap kali melihat dia bermain tetapi hari ini, jaringannya meletakkan dia pada tahap berbeza,” kata jurulatih England, Gareth Southgate.
Pada ketika Tammy Abraham, Ben Chilwell dan Jadon Sancho tidak diturunkan kerana memenuhi prosedur Covid-19, perlawanan hari ini digunakan untuk menguji beberapa muka baharu sebelum menghadapi perlawanan Liga Negara-Negara UEFA bertemu Belgium awal pagi Isnin.
Perancang Aston Villa, Jack Grealish menjadi arkitek kepada jaringan Calvert-Lewin dan menyinar selepas bermula dalam kesebelasan utama.
“Dia berjaya mengawal bola dengan baik dan ia adalah penampilan yang pasti tidak dapat dilupakannya,” kata Southgate. – AFP