BARCELONA: Barcelona sudah melupakan detik hitam yang mencetus drama musim lalu apabila membenam kelab kerdil Hungary, Ferencvaros 5-1 dalam aksi sulung Kumpulan G, Liga Juara-Juara pagi ini.
Kemenangan itu hadir dua bulan selepas mereka dimalukan 2-8 oleh Bayern Munich dalam suku akhir di laman sendiri.
Lionel Messi yang hampir meninggalkan Camp Nou akibat kekalahan itu, kembali mencetak gol di pentas Eropah dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-27.
Pemain remaja sensasi berusia 17 tahun, Ansu Fati meledak gol kedua menerusi voli, sebelum mengumpan bola untuk jaringan ketiga yang disempurnakan Philippe Coutinho.
Barca bagaimanapun terpaksa meneruskan perlawanan dengan 10 pemain selepas Gerard Pique dibuang padang kerana menghalang Tokmac Nguen dalam kotak penalti pada minit ke-68.
Ihor Kharatin menyempurnalan penalti pasukan pelawat, namun Pedri dan Ousamane Dembele menamatkan harapan Ferencvaros untuk bangkit apabila menambah dua gol buat tuan rumah.
Kemenangan ini amat diperlukan Barcelona bagi meningkatkan keyakinan menjelang saingan El Clasico berdepan Real Madrid, Ahad ini.
“Kami menghadapi perlawanan dengan motivasi tinggi biarpun berdepan detik kurang baik sebelum itu.
“Kemenangan penting sebelum menentang Real Madrid. El Clasico perlawanan yang sentiasa dinantikan,” kata Fati.
Barcelona dikejutkan 1-0 oleh Getafe dalam aksi terakhir La Liga, tiga hari sebelum berdepan Ferencvaros.
Kemenangan besar itu meletakkan mereka menerajui Kumpulan G, namun kad merah buat Pique bermakna dia akan terlepas pertemuan dengan Juventus minggu depan.
Gergasi Itali, Juventus turut merekodkan kemenangan dalam aksi sulung selepas dua jaringan Alvaro Morata membantu mereka mengalahkan Dynamo Kiev 2-0 di Ukraine. – AGENSI