PARIS: Jose Mourinho mengakui, dia bagaikan mahu melakukan 11 pertukaran pada babak pertama selepas Tottenham kalah mengejut 0-1 dalam aksi Liga Europa di Royal Antwerp manakala pendahulu Serie A, AC Milan dan skuad bimbingan Mikel Arteta, Arsenal meraih kemenangan pagi tadi.
Spurs gagal mencipta walau satu pun peluang, dan Gareth Bale yang menyertai kelab secara pinjaman daripada Real Madrid digantikan kurang sejam selepas permainan.
Mourinho yang membuat empat pertukaran ketika rehat mengeluarkan Dele Alli dan bercadang tidak akan menurunkan barisan kedua dengan lebih kerap pada masa akan datang.
“Saya lebih suka membuat 11 pertukaran. Saya tidak keluarkan lima kerana saya risau 45 minit lagi.
“Pada babak pertama saya cuba memperbaiki situasi tetapi tidak cukup. Babak kedua kami bertambah baik tetapi penghujungnya, Antwerp mendapat apa yang mereka mahukan. Pasukan lebih baik menang dan yang buruk tewas.
“Saya selalu fikir pemain berhak diberi peluang. Kami ada skuad besar dan ia peluang buat mereka untuk buktikan kemampuan tetapi malam ini, pilihan akan datang kini menjadi lebih mudah,” kata Mourinho.
Kemenangan itu melonjakkan Antwerp ke tangga teratas Kumpulan J selepas turut melakar kemenangan 2-1 di Ludogorets minggu lalu.
Kelab Belgium itu beraksi di pentas Eropah buat kali pertama sejak tewas pusingan pertama Piala UEFA kepada Newcastle United in 1994.
Tuan rumah mendahului pada minit ke-29 menerusi rembatan penyerang, Lior Refaelova yang tidak dikawal dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Dieumerci Mbokani.
Mourinho memasukkan Harry Kane menggantikan Bale untuk menggandakan asakan tetapi tetap gagal menembusi gawan lawan sehingga tamat permainan.
Milan raih kemenangan kedua
Milan pula meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan H selepas menewaskan Sparta 3-0 dengan Zlatan Ibrahimovic gagal menjaringkan penalti pada babak pertama.
Jaringan Brahim Diaz, Rafael Leao dan pemain sayap pinjaman dari Manchester United, Diogo Dalot menyaksikan Milan melebarkan kemenangan kepada 23 perlawanan dalam semua kejohanan.
Skuad Stefano Pioli kini dua mata mengatasi Lille yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Celtic 2-2 di tempat sendiri.
“Kami tidak fikir mengenai statistik, kami hanya fokus aksi seterusnya.
“Hanya beberapa bulan lalu, ramai menganggap kami pasukan buruk dan sekarang kami membuktikan sebaliknya.
“Milan kelab hebat dengan tradisi fantastik dan kami kerap bermain dengan cita-cita besar,” kata Pioli.
Arsenal atasi cabaran Dundalk
Sementara itu, Arsenal diberi tentangan sengit oleh Dundalk sebelum menang 3-0 di Stadium Emirates, London.
Kelab Ireland itu mengekang asakan Gunners sehingga minit ke-41, namun jaringan Eddie Nketiah dan Joe Willock meletakkan tuan rumah di depan sebelum tamat babak pertama.
Nicolas Pepe melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga menerusi rembatan pada babak kedua.
Napoli bangkit kalahkah Sociedad
Napoli yang tewas aksi pembukaan kepada AZ Alkmaar bangkit menewaskan pendahulu La Liga, Real Sociedad 1-0 dalam aksi Kumpulan F.
Vardy pastikan kemenangan Leicester
Jamie Vardy menyempurnakan penalti bagi membantu Leicester City meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan G dengan menewaskan AEK Athens 2-1 di tempat lawan manakala dua jaringan lewat Paco Alcacer membantu Villarreal menewaskan Qarabag 3-1 dalam Kumpulan I.
Skuad bimbingan Steven Gerrard, Rangers turut mencipta kemenangan kedua dalam Kumpulan D dengan menumpaskan Lech Poznan 1-0 tetapi Benfica menduduki tangga teratas selepas menundukkan Standard Liege 3-0. – AFP