AMSTERDAM: Ajax mencatat rekod baharu Eredivisie apabila membelasah 10 pemain VVV-Venlo 13-0 sebentar tadi.
Gergasi bola sepak Belanda itu memadam rekod kemenangan terbesar milik mereka sendiri – mengalahkan Vitesse Arnhem 12-1 pada 1972.
Juara bertahan itu sudahpun memulakan amukan di separuh masa pertama apabila mendahului 4-0.
Keadaan menjadi bertambah buruk buat VVV apabila pertahanan mereka, Christian Klum dibuang padang hanya tujuh minit memasuki babak kedua.
Kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ajax untuk menambah sembilan lagi gol, termasuk hatrik babak kedua Lassina Traore.
Secara keseluruhan, penyerang remaja sensasi berusia 19 tahun itu meledak lima gol dalam perlawanan tersebut.
Jurgen Ekkelenkamp dan Klass-Jan Huntelaar masing-masing menjaringkan dua gol.
Empat lagi jaringan Ajax disempurnakan oleh Dusan Tadic, Antony, Daley Blind dan Lisandro Martinez.
Pesta gol di Stadium De Koel, Venlo adalah tindak balas sempurna daripada Ajax selepas tumpas 0-1 kepada Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu.
Selain berpesta gol, Ajax turut merekodkan 45 percubaan keseluruhan, 23 daripadanya percubaan tepat.
Kemenangan itu membolehkan mereka menerajui Eredivisie hasil kemenangan daripada enam perlawanan. – AGENSI