LONDON: Pep Guardiola berkata, mesti bersaing untuk mendapatkan kontrak baharu bersama Manchester City biarpun dia adalah penjaring terbanyak kelab.
Aguero, 32, yang baru kembali selepas empat bulan disisihkan akibat kecederaan membantu pasukannya menundukkan Arsenal 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Penyerang Argentina itu kini memasuki 12 bulan terakhir dalam kontrak sedia ada.
Dia telah meledak 254 gol buat City dan menjadi watak penting yang membantu skuad The Citizens merangkul kejuaraan liga 2012.
Bagaimanapun Guardiola, yang juga berada dalam musim terakhir kontraknya percaya, bekas penyerang Atletico Madrid itu perlu membuktikan tahap kecergasan serta prestasi dalam beberapa bulan mendatang.
“Apa yang penting, Sergio kembali dengan fizikal yang amat bagus. Sekarang, dia cuma perlu mencari rentak, elak daripada kecederaan dan bermain baik.
“Kita semua tahu, dia pemain penting buat pasukan dan kami amat menghargainya tetapi seperti pemain lain, dia juga kena membuktikan mengapa dia berhak kekal dan bermain buat kami,” kata Guardiola.
Aguero memainkan peranan penting kepada gol tunggal yang diperoleh City, Sabtu lalu apabila menghantar bola kepada Phil Foden yang kemudian melakukan hantaran untuk disempurnakan Raheem Sterling. – AFP