KRASNODAR, Rusia: Pemilik Chelsea, Roman Abramovich hadir di Krasnodar untuk melihat pemain yang dibeli pada harga 33 juta pound (RM178.24 juta), Hakim Ziyech menjaringkan gol dalam penampilan penuh pertama bersama Blues.
Skuad bimbingan Frank Lampard sudahpun menguasai permainan menerusi jaringan Callum-Hudson Odoi dan sepakan penalti Timo Werner sebelum Ziyech serta Christian Pulisic melengkapkan kemenangan 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.
Pada kedudukan 0-0, Chelsea cemas seketika apabila Jorginho gagal menyempurnakan penalti, namun Lampard lega akhirnya mencatat kemenangan selepas seri tanpa jaringan dengan Sevilla minggu lalu.
“Hakim Ziyech bekerja keras untuk kembali cergas dan saya gembira dia berjaya menunjukkan kualiti dalam pasukan.
“Prestasinya sangat bagus walaupun tidak beraksi dalam kesebelasan utama sejak Mac selepas liga Belanda tamat,” kata Lampard.
Kemenangan meletakkan Chelsea di tangga teratas Kumpulan E, berkongsi empat mata bersama Sevilla. – AGENSI