NURBURGRING: Lewis Hamilton menyamai rekod 91 kemenangan milik legenda Formula Satu (F1) Jerman, Michael Schumacher selepas menjuarai Grand Prix (GP) Eifel, sebentar tadi.
Juara dunia enam kali itu melupakan kekecewaan di GP Rusia dua minggu lalu apabila mengawal perlumbaan di Litar Nurburgring yang kembali menganjurkan saingan berprestij itu sejak 2013.
“Keputusan menakjubkan,” kata Hamilton menerusi radio pasukan Mercedes sebaik sahaja melintasi garisan penamat.
Pemandu Britain itu mengatasi Max Verstappen dari Red Bull, manakala pelumba Renault, Daniel Ricciardo di tempat ketiga.
Kemenangan juga mengukuhkan kedudukan Hamilton selaku pendahulu dunia, sekali gus menghampiri rekod tujuh kejuaraan yang kini dipegang Schumacher. – AGENSI