MUNICH: Bayern Munich merangkul kejuaraan kelima tahun ini selepas gol lewat minit Joshua Kimmich membantu kemenangan 3-2 ke atas Borussia Dortmund pada Piala Super Jerman awal pagi tadi.
Bayern selesa mendahului 2-0 menerusi Corentin Tolisso dan Thomas Mueller selepas 32 minit permainan, namun Julian Brandt merapatkan jurang, enam minit sebelum tamat babak pertama.
Perlawanan bertambah sengit selepas Erling Braut Haaland menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55.
Kimmich bagaimanapun enyempurnakan malam gemilang Bayern di Allianz Arena dengan meledak gol kemenangan, lapan minit sebelum tamat permainan.
“Joshua pemain hebat, melihat cara dia menjaringkan gol kemenangan,” kata kapten Bayern, Manuel Neuer.
Selepas rekod 23 kemenangan mereka lebur dengan kekalahan mengejut di tangan Hoffenheim Ahad lalu, Bayern kembali bangkit.
“Dia (Kimmich) memiliki kualiti besar dan berada pada tahap terbaik,” kata jurulatih Bayern, Hansi Flick yang membawa Bayern merangkul gelaran Bundesliga kelapan berturut-turut, Piala Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.
Ini kali keempat dalam tempoh lima tahun Bayern menjuarai Piala Super Jerman. – AFP