Yob juara kali ke-10 - Utusan Malaysia

Yob juara kali ke-10

KEJAYAAN muncul juara Piala Tun Abdul Razak bulan lalu membolehkan skuad hoki Perak menerima habuan RM100,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perak mengukuhkan status sebagai antara gergasi hoki tanah air apabila merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak buat kali ke-10 selepas menundukkan Terengganu 4-2 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Muhammad Haziq Samsul menjadi wira  apabila meledak hatrik, sekali gus  memastikan Perak muncul pasukan kedua paling berjaya dalam sejarah kejohanan selepas Kuala Lumpur dengan 19 kejuaraan. 

Dalam aksi itu, Terengganu terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Faizal Saari sebelum Perak bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.

Muhammad Haziq kemudiannya tampil dengan aksi cemerlang dengan meledak tiga jaringan buat Perak pada minit ke-30, 32 dan 46.

Terengganu cuba bangkit merapatkan jurang menerusi gol kedua Faizal pada minit ke-59 menerusi pukulan sudut penalti, namun ia tidak mampu untuk menghalang Perak menjulang trofi kejuaraan dalam edisi kali ini. 

Sementara itu, dalam saingan wanita, Pahang muncul juara dengan menundukkan Selangor 2-1.

Kejayaan itu menyaksikan Pahang kembali merampas gelaran yang dimenangi mereka empat tahun lalu sekali gus menebus kekecewaan tewas kepada Selangor sewaktu final edisi 2017.

Dalam aksi itu, Pahang bermula garang apabila menjaringkan gol pertama seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid.

Bagaimanapun, Selangor membuktikan status mereka sebagai juara bertahan, apabila bangkit menyamakan kedudukan melalui jaringan padang Fatin Shafika Mahd. Sukri pada minit ke-20.

Hasilnya, Nuraini berjaya menjadi wira Pahang apabila meledak gol kemenangan, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti ketika perlawanan berbaki lapan minit lagi untuk tamat. 

Ketua jurulatih Pahang, Mohamad Sabri Mohamad amat berpuas hati dengan prestasi ditampilkan barisan pemainnya yang berjaya bermain mengikut perancangan mereka.

“Saya sangat gembira kerana gelaran ini akhirnya kembali semula kepada Pahang. Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana bermain mengikut perancangan pasukan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya