LONDON: Pemain tengah sensasi Ajax, Donny van de Beek kini milik Manchester United selepas melengkapkan pembelian ke gergasi Liga Perdana Inggeris itu dengan yuran perpindahan 39 juta euro (RM191.48 juta).
Van de Beek, 23, menjadi pembelian pertama Ole Gunnar Solskjaer pada musim panas ini selepas menandatangani kontrak lima tahun di Old Trafford.
Van de Beek meledak 41 gol dalam 175 penampilan bersama kelab Belanda itu dan memainkan peranan dalam membawa Ajax ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
“Ini adalah peluang menakjubkan buat saya untuk menyertai kelab yang mempunyai sejarah hebat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di Ajax. Saya membesar di sana dan akan sentiasa mempunyai ikatan istimewa dengan kelab.
“Kini saya sedia mengambil langkah seterusnya dalam karier dan beraksi di peringkat tertinggi bersama Manchester United,” kata Van de Beek.
Solskjaer berkata: “Donny mempunyai semua ciri teknikal yang diperlukan untuk cemerlang bersama pasukan ini dan dia juga ada personaliti untuk berjaya di Manchester United.
“Kemampuannya melihat ruang, memilih waktu tepat untuk bertindak dan membaca perlawanan menepati kualiti barisan tengah kami dan ketibaannya akan memperkuatkan pilihan di posisi itu.” – AFP