KOTA BHARU: The Red Warriors (TRW) bakal menjadi kelab bola sepak tempatan pertama disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
Itu sasaran pemilik baharu Kelantan, Norizam Tukiman, yang menyasarkan 2025 sebagai tahun untuk meletakkan TRW dalam papan utama Bursa.
Katanya, penyenaraian TRW dijangka melonjakkan nilai pasukan itu antara RM500 juta hingga RM1 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sebagai permulaan, fokus utama saya adalah menyelesaikan isu pelesenan pasukan.
“Saya juga akan pastikan isu tunggakan gaji tidak lagi membelenggu TRW kerana ia boleh memberikan kesan buruk pada pasukan,” kata Norizam dalam Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC di sini semalam.
Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menjadi pemilik Kelantan selepas membayar RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham Team TRW Sdn. Bhd.
Sebagai pakar pelaburan, Norizam percaya, membeli gergasi pantai timur itu keputusan tepat kerana TRW berpotensi meraih keuntungan dari segi perniagaan dan pencapaian.
“Bagi saya nilai syarikat bukan bergantung kepada untung dan rugi walaupun ia perlu diambil kira.
“Saya lebih selesa melihatnya dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Kata Norizam, beliau melihat pembelian TRW satu cabaran positif dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan.
Sebagai permulaan beliau sudahpun melunaskan bayaran awal pembelian TRW berjumlah RM3 juta.
Baki selebihnya RM3.6 juta lagi akan dilangsaikan sebelum hujung tahun ini.
Norizam berkata, beliau meletakkan sasaran mara ke Liga Super musim depan.
Pada majlis itu, Norizam turut menyerahkan gaji kepada jurulatih, pegawai dan pemain berjumlah RM370,000.