KUANTAN: Tok Gajah perlu mempertingkatkan persefahaman dalam kalangan pemain khususnya pemain muda untuk menghadapi saingan yang lebih getir selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 ketika bertemu Felda United kelmarin.
Pahang hanya mampu mengutip satu mata selepas prestasi yang agak kurang memberangsangkan ditunjukkan oleh anak-anak buah Dollah Salleh dalam perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka.
Pengurus Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang berharap Dollah dapat mempertingkatkan persefahaman khususnya dalam kalangan pemain muda agar dapat membentuk skuad yang lebih kuat untuk meneruskan baki saingan Liga Malaysia.
“Tidak dinafikan kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utama sehingga terpaksa diganti dengan ramai pemain baru nyata banyak menganggu prestasi pasukan Pahang sehingga kini,” katanya semalam.
Menurut Mohamed Suffian, orang ‘besi’, Dickson Nwakamae dan Herold Gaulon tidak dapat beraksi dan pemain muda yang diturunkan nyata masih mencari rentak dan persefahaman.
Pahang memperolehi gol menerusi jaringan Muslim Ahmad dan Ivan Carlos manakala Felda United menafikan hasrat Pahang untuk memungut tiga mata selepas gol Nikolaros Popovie dan Mohd. Haikal untuk keputusan penuh 2-2
Keupayaan Muslim menjaringkan gol petanda baik untuk Pahang tidak hanya bergantung harap kepada jentera serangan diketuai Mohamad Faizal Abdul Halim untuk merobek gawang lawan.
Mohamed Suffian bagaimanapun percaya kerja kuat anak didik Dollah akan lebih teruji apabila bertemu pasukan yang lebih kuat selepas ini.
“Saya percaya kepada kerja kuat anak didik Dollah selepas ini dapat membentuk pasukan yang lebih ampuh untuk meneruskan saingan Liga M,” katanya.
Menurutnya, Pahang perlu berusaha keras kerana selepas ini Tok Gajah akan bertemu pasukan lebih kuat seperti Kedah, Perak dan Terengganu.