NEW YORK: Selepas tiga kali gagal, Dominic Thiem akhirnya merangkul trofi Grand Slam pertama dengan muncul juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) pagi tadi.
Thiem, 27, dipaksa bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menundukkan bintang muda Jerman, Alexander Zverev dalam final sengit lima set.
Pemain pilihan kedua kejohanan dari Austria itu menang 2-6, 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (8/6) dalam perlawanan selama empat jam dua minit di Stadium Arthur Ashe yang hampir kosong.
Thiem sebelum ini mara dalam tiga final Grand Slam – Terbuka Australia, Januari lalu dan Terbuka Perancis 2018 serta 2019 tetapi menamatkan saingan dengan kekecewaan.
“Kami mula mengenali satu sama lain pada 2014 dan sejak itu kami membina persahabatan yang rapat.
“Kami berkongsi banyak perkara di dalam dan luar gelanggang. Ia amat menakjubkan kami berdua sampai ke tahap hari ini.
“Alangkah baiknya kalau ada dua pemenang hari ini. Kedua-dua pemain berhak menang,” kata Thiem. – AGENSI