LONDON: Thiago Alcantara dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
Menurut portal sukan Jerman, BILD, rundingan di antara Bayern Munich dan Reds masih berjalan, namun kedua-dua pihak pada dasarnya bersetuju dengan yuran 27.5 juta pound (RM147 juta).
Perancang utama Sepanyol tersebut dikatakan akan menandatangani kontrak tiga tahun di Anfield.
Pengurus Bayern, Hansi Flick awal minggu ini berkata, Thiago masih ada dalam perancangannya musim depan.
Bagaimanapun, dia memberi tambahan cuti seminggu kepada pemain berusia 29 tahun itu untuk memikirkan tentang masa depannya.
Thiago difahamkan sedang bercuti bersama keluarga di Barcelona selepas menggalas tugas antarabangsa dalam Liga Negara-Negara UEFA.
Menurut BILD, Thiago tidak akan menyertai sesi latihan Bayern sehingga minggu depan kerana mahu menyelesaikan perpindahannya secepat mungkin.
Rakan-rakan sepasukannya sudahpun melapor diri dalam latihan skuad Bavarian, termasuk pemain baharu, Leroy Sane. – AGENSI