LONDON: Liverpool bersetuju mendapatkan Thiago Alcantara dari Bayern Munich dengan harga 27 juta pound (RM144.88 juta).
Pemain tengah Sepanyol itu menjadi tumpuan Reds sepanjang musim panas, namun skuad kendalian Jurgen Klopp sebelum ini tidak bersetuju dengan harga awal yang ditetapkan.
Kehadiran Thiago dilihat menjadi pemangkin kepada Liverpool dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pemain berusia 29 tahun itu antara watak penting ketika Bayern merangkul kejuaraan treble musim lalu dan disebut-sebut sebagai pemain terbaik dunia ketika ini.
Thiago memiliki baki kontrak kurang setahun bersama juara Jerman itu dan Bayern memang berhasrat untuk melepaskan pemain tersebut musim ini.
Situasi kontrak pemain itu antara sebab Liverpool berbelah bahagi untuk membelanjakan 27 juta pound.
Thiago sentiasa berada dalam kesebelasan utama pasukan yang disertainya dan pasti akan memberikan kreativiti kepada skuad Klopp.
Meskipun memiliki pemain seperti Fabinho, Jordan Henderson dan Gini Wijnaldum namun mereka tidak memiliki kelebihan yang dimiliki Thiago.
Cara permainan dan kesanggupannya membantu jentera serangan sememangnya luar biasa.
Sudah pasti kedudukannya sudah terjamin di bahagian tengah skuad Klopp apabila tiba di Anfield. – AGENSI