LONDON: Liverpool hari ini mengesahkan pemain baharunya Thiago Alcantara disahkan positif Covid-19.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu, yang menyertai Reds dari Bayern Munich pertengahan bulan ini, membuat kemunculan sulung dari bangku simpanan ketika Liverpool menumpaskan Chelsea minggu lalu.
Bagaimanapun, pemain tengah tersebut disisihkan ketika berdepan Arsenal Selasa lalu akibat kecederaan, namun kini Thiago dikuarantin susulan wabak itu.
“Pemain tengah Liverpool Thiago Alcantara diuji positif Covid-19 dan kini sedang mengasingkan diri mengikut panduan yang ditetapkan.
“Pemain berusia 29 tahun itu, yang terlepas aksi menentang Arsenal, menunjukkan sedikit gejala virus tetapi dalam keadaan sihat dan semakin baik.
“Kelab akan mengikuti perkembangan, termasuk semua protokol yang berkaitan dengan Covid-19 dan Thiago sedang diasingkan untuk jangka waktu yang diperlukan,” kata Liverpool dalam satu kenyataan.