SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli Kasut Emas bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.
Selangor Royal Office dalam hantaran di Facebook rasmi hari ini memberitahu, Kasut Emas tersebut dibeli pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Penyerahan kasut tersebut diadakan dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Trofi Kasut Emas yang dimenangi Khalid pada 2002 itu juga akan diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah.
Khalid, 43, yang dianggap legenda bola sepak Perak dan pernah menyarung jersi Selangor dari 2005 hingga 2006 sebelum ini mencuri tumpuan apabila bertindak melelong beberapa koleksi peribadi miliknya seperti pingat, jersi dan poster.
Dia bagaimanapun menegaskan, tindakan itu bukan berniat meraih simpati orang ramai, sebaliknya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Utusan Malaysia sebelum ini difahamkan, Kasut Emas penjaring terbanyak Liga Malaysia itu dijual pada harga RM99,999.