TURIN: Luis Suarez mempunyai pendekatan tersendiri bagi mengambil hati mangsa gigitannya, Giorgio Chiellini selepas bintang Uruguay itu semakin hampir ke Juventus.
Suarez dilaporkan menghubungi Chiellini untuk memohon maaf setelah menggigit bahu pertahanan berpengalaman Itali itu dalam saingan Piala Dunia di Brazil enam tahun lalu.
Penyerang Barcelona itu membuat perkara sedemikian apabila bakal menjadi rakan sepasukan dengan kapten Juventus itu.
Bagaimanapun Chiellini menjelaskan dia sudah pun melupakan insiden ‘ngeri’ itu sambil menyifatkannya sebagai satu strategi dalam dunia bola sepak.
“Ia sudah lama berlalu, mungkin itu strateginya dan saya juga ada strategi sendiri. Jadi dia dan saya sama sahaja,” kata Chiellini kepada La Gazzetta dello Sport.
Suarez bagaimanapun terselamat apabila pengadil tidak melihat insiden tersebut, sebaliknya Chiellini yang dibuang padang, namun penyerang itu digantung empat bulan dari aktiviti bola sepak susulan insiden berkenaan.
Begitupun, bekas penyerang Liverpool tersebut tetap mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung tindakan agresifnya itu.
“Ya memang saya salah, tetapi saya cuma manusia biasa. Setiap pemain ada strategi, karakter dan gaya permainan tersendiri.
“Ini cara tersendiri saya yang menjadikan saya seperti hari ini,” kata Suarez.- AGENSI