LONDON: Tottenham Hotspur terpaksa meminta tiang gol ditukar sebelum mereka melakar kemenangan 3-1 ke atas Shkendija untuk mara ke pusingan akhir kelayakan Liga Europa, awal pagi tadi.
Jaringan Son Heung-min dan Harry Kane dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan membolehkan Spurs menempah pertemuan dengan Maccabi Haifa untuk aksi playoff akhir, minggu depan.
Mourinho, berkata penjaga golnya menyedari sebelum perlawanan bahawa tiang gol itu kurang lima sentimeter dari segi ketinggian berbanding saiz sebenar.
“Saya fikir saya yang semakin membesar tetapi selepas itu baru sedar tiang gol itu adalah lima sentimeter lebih rendah.
“Penjaga gol menghabiskan masa mereka berada di tiang gol, jadi mereka tahu apabila itu bukan saiz yang sebenar.
“Kami meminta delegasi Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk melakukan pemeriksaan dan mereka mengesahkan ia lima sentimeter lebih rendah.
“Akhirnya, kami meminta tiang gol ditukar mengikut saiz yang sebenar,” kata Mourinho menerusi keterangan gambar yang dimuat naik di laman sosial, Instagram dengan beliau dilihat hampir menyentuh palang gol berkenaan.
Mourinho meletakkan Kane di bangku simpanan daripada enam pertukaran yang dilakukan ketika mereka menewaskan Southampton 5-2 Ahad lalu, tetapi terpaksa membawa masuk penyerang England itu selepas Valjmir Nafiu berjaya memadam gol pendahuluan Spurs yang dijaringkan Erik Lamela pada awal permainan.
Heung Min yang meledakkan empat gol pada pertemuan dengan Southampton sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila dia menjaring gol kedua Spurs bagi meletakkan kelab itu kembali mendahului pada minit ke-70 sebelum Kane memastikan kemenangan selesa sembilan minit kemudian.
Sementara itu, AC Milan turun tanpa penyerang, Zlatan Ibrahimovic yang disahkan positif Covid-19 nyata tidak memberi kesan buat kelab itu apabila berjaya menewaskan Bodo Glimt 3-2 di San Siro.
Dalam pada itu, Celtic terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan sebelum melakar kemenangan 1-0 ke atas Riga di Latvia menerusi jaringan Mohamed Elyounoussi. – AFP