BRIGHTON: Skuad ‘mahal’ Chelsea melaungkan amaran awal kepada pesaing Liga Perdana Inggeris apabila membuka kempen dengan menundukkan Brighton 3-1 awal pagi tadi.
Pengendali Blues, Frank Lampard percaya, pelaburan hampir 200 juta pound (RM1.065 bilion) sudah mula menunjukkan kesannya.
Penyerang Jerman, Timo Werner, yang dibeli pada harga 53 juta pound (RM282 juta) dari RB Leipzig, mendapatkan penalti yang disempurnakan Jorginho untuk meletakkan Chelsea di depan.
Kai Havertz yang dibawa masuk pada harga 70 juta pound (RM372 juta) dari Bayer Leverkusen tidak begitu memberi impak tetapi Lampard yakin penyerang muda Jerman itu akan menyinar dalam tidak lama lagi.
“Kepantasan Timo untuk mendapatkan penalti menunjukkan dia amat tajam dan mendatangkan ancaman sepanjang malam. Dia banyak bergerak dan saya sukakan persembahannya.
“Kami juga dapat melihat banyak perkara bagus dengan Kai, dia hanya memerlukan masa permainan untuk menjadi lebih baik.
“Saya percaya, kedua-dua mereka akan menjadi pemain yang hebat untuk kelab ini,” kata Lampard.
Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga sekali lagi melakukan kesilapan yang membenarkan Leandro Trossard menyamakan kedudukan buat Brighton.
Begitupun, sepakan kencang Reece James meletakkan Chelsea kembali di depan sebelum cubaan Kurt Zouma yang masuk ke gawang mengesahkan tiga mata penuh. – AFP