Selangor, Melaka sama kuat - Utusan Malaysia

Selangor, Melaka sama kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Selangor menyekat hasrat Melaka United untuk meraih kemenangan hatrik selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Mini UiTM, Shah Alam sebentar tadi.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan turun ke Shah Alam dengan rekod baik selepas melakar dua kemenangan 1-0 sebelum ini ke atas Perak dan Terengganu FC.

Beraksi di laman sendiri Red Giants memulakan perlawanan cukup bertenaga dengan mencipta banyak peluang, malah menguasai hampir keseluruhan permainan pada babak pertama.

Walaupun tuan rumah lebih banyak mencipta peluang namun barisan serangan mereka gagal untuk membolosi gawang yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Sebaliknya pasukan pelawat yang lebih banyak bertahan, berjaya memecah kebuntuan jaringan menerusi rembatan deras penyerang dari Nigeria Uche Agba pada minit ke-38.

Tersentak dengan gol pendahuluan itu, skuad kendalian B. Sathianathan hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan penyudah pemain tengah dari Brazil, Sandro Da Silva selepas menerima umpanan cantik Ifedayo Olusegun.

Bersambung babak kedua, Red Giants hampir menggandakan jaringan namun rembatan kaki kiri pemain sayap Syazwan Zainon sekadar melewati tiang kiri gawang di kawal Khairul Fahmi pada minit ke-51.

Kesilapan Halim Saari yang mudah kehilangan bola hampir menghukum Selangor namun rembatan kencang pemain tengah dari Columbia Romel Morales berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah, Khairulazhan Khalid pada minit ke-71.

Lebih malang Selangor terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain tengahnya Brendan Gan dilayangkan kad merah apabila menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan di minit terakhir perlawanan.

“Kami kehilangan dua mata hari ini. Saya rasakan enam atau tujuh peluang terbaik untuk dapatkan gol tetapi gagal disudahkan, masalah ini perlu diselesaikan.

“Pasukan lawan hanya memerlukan satu percubaan dan berjaya menghasilkan gol. Dalam bola sepak untuk mendapatkan tiga mata kami perlu menjaringkan gol,” kata Sathianathan selepas perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Selangor dan Melaka United berkongsi 10 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan liga yang berbaki empat aksi lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya