Sang Kancil lega kutip 6 mata - Utusan Malaysia

Sang Kancil lega kutip 6 mata

PERTAHANAN Terengganu FC, Argzim Redzovic (kanan) cuba menyekat penyerang Melaka United, Sony Norde di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam. – MINGGUAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua kemenangan berturut-turut bukan sahaja menyuntik semangat skuad Hang Tuah, tetapi keputusan itu juga melegakan barisan kejurulatihan pasukan Melaka United setakat ini.

Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan berkata, enam mata yang diraih amat penting buat Melaka United sekaligus membuka peluang untuk mencabar pasukan teratas liga.

Katanya, kedudukan terkini juga sudah pasti menjauhkan Melaka United daripada zon penyingkiran akibat berdepan pemotongan mata sebelum ini.

“Para pemain telah melaksanakan tugas mereka dengan baik kerana kita tahu pasukan berada dalam zon amat bahaya sebelum ini dan saya beritahu mereka hanya kemenangan boleh mengubah kedudukan.

“Saya tak nafikan kita juga ada buat perubahan drastik untuk taktikal pasukan, selain barisan pertahanan yang mempamerkan disiplin tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan menentang Terengganu FC, semalam.

Dalam perlawanan itu, jaringan tunggal penyerang import, Uche Agba pada minit ke-60 sudah cukup untuk memastikan Melaka United membawa pulang tiga mata penuh.

Malah, Zainal turut yakin untuk terus kekal berada dalam kelompok empat pasukan teratas seperti yang disasarkan pada awal musim lalu berdasarkan persembahan semasa anak-anak buahnya.

“Kita tahu sebelum ini ada 22 perlawanan jadi masih banyak peluang tetapi apabila Covid-19 melanda dan liga dipendekkan, maka satu perancangan rapi telah dilakukan barisan kejurulatihan termasuk bahagian taktikal yang tak perlu saya dedahkan.

“Kedudukan sekarang memang nampak baik dan kita akan terus berusaha pada setiap perlawanan untuk membaiki kedudukan,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan Terengganu, ujar beliau, ketangkasan Razman Roslan dan Jang Sukwon mematahkan serangan penyerang berbahaya skuad lawan, Dominique Da Sylva antara faktor kemenangan.

Katanya lagi, peluang keemasan yang terhidang pada babak kedua itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan tenang oleh Agba hasil hantaran Sony Norde.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya