SAN MARINO: Pelumba veteran Valentino Rossi menepis khabar angin mengatakan dia mahu bersara, sebaliknya dijangka membuat pengumuman rasmi ke Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) di Barcelona, hujung bulan ini.
Kata pelumba Itali itu, terdapat beberapa perkara yang perlu mereka selesaikan di antara pihak Petronas, Yamaha termasuk dirinya menyebabkan pengumuman yang sepatutnya dibuat di Grand Prix (GP) Styria pada 23 Ogos lalu ditangguhkan.
Tambah Rossi, 41, dia tetap tenang kerana proses perpindahannya itu tidak perlu tergesa-gesa, selain tetap menegaskan tahun depan 99 peratus akan berlumba dengan Petronas Yamaha SRT.
“Bukan, ia tidak benar (tentang persaraan), situasi tetap sama seperti dua atau tiga minggu lalu. Kami mengambil masa sebab kami tidak tergesa-gesa dan ada beberapa perkara yang perlu kami perbaiki.
“Bagaimanapun kami semakin hampir untuk menandatangani dan bakal berlumba bersama Petronas tahun depan.
“Saya mahu katakan 99 peratus kerana hanya tinggal tandatangan tetapi saya rasa mungkin di Barcelona kami akan umum,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlumbaan GP San Marino Ahad ini.
Kelmarin, Prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali menepis khabar angin kononnya mereka ingin mendapatkan Andrea Dovizioso bagi menggantikan Rossi, yang ingin bersara dari Kejuaraan Motosikal Dunia. – AGENSI