SOLNA: Cristiano Ronaldo meledak dua gol berdepan 10 pemain Sweden untuk memberikannya jaringan ke-101 bersama Portugal dalam Liga Negara-Negara UEFA awal pagi tadi.
Ronaldo meledak gol ke-100 pada babak pertama menerusi sepakan percuma dari jarak 25 ela yang melencong ke kiri gawang.
Gol kedua yang juga ke-101 hadir pada minit ke-72 selepas penyerang Juventus itu menewaskan pertahanan Sweden dan merembat bola ke penjuru.
Portugal yang juga juara bertahan menang 2-0 untuk mengungguli Kumpulan 3, berkongsi enam mata bersama juara dunia, Perancis.
“Dua gol ini amat penting kerana ia bermakna saya berjaya mencapai tahap yang saya cari-cari.
“Saya sangat gembira. Pertama kerana pasukan menang dan sudah tentu menjaringkan gol ke-100 dan 101, dua gol hebat.
“Adalah menyedihkan bermain tanpa penonton, ia sama seperti ke sarkas tanpa badut atau ke taman tanpa bunga.
Bercakap bagi diri saya, apabila saya bermain di tempat lawan, saya suka disorak, ia memberikan saya motivasi,” kata Ronaldo kepada televisyen Portugal, RTP.
Ronaldo membuat penampilan sulung bersama Portugal ketika berusia 18 tahun pada 2003.
Dia meledak gol antarabangsa pertamanya ketika Portugal tewas 2-1 kepada Greece dalam Euro 2004. – AFP