LONDON: Legenda Manchester United, Ryan Giggs percaya bekas rakan sepasukannya Cristiano Ronaldo mampu beraksi sehingga menjangkau usia 40 tahun.
Semalam Ronaldo meledak gol ke-101 di pentas antarabangsa bersama Portugal pada usia 35 tahun, namun penyerang itu tidak menunjukkan sebarang penurunan saban tahun.
Giggs, yang juga pernah beraksi bersama Red Devils sehingga usia 40 tahun berkata, dia yakin Ronaldo juga mampu bermaun seperti umurnya ketika di Old Trafford.
“Yang penting dia mesti berada di kelab yang tepat. Saya berada di kelab terhebat dan beraksi sehingga usia 40 tahun.
“Dia menjaga kesihatan dengan baik, mengawal pemakanan, rehat cukup dan hidup hanya untuk bermain bola sepak. Dialah satu-satunya pemain profesional yang pernah saya beraksi bersama.
“Saya melihat perkembangannya sejak memulakan karier di Manchester United. Anda mungkin sudah jangkakan dia mampu menyumbat terlalu banyak gol.
“Dia berbakat dan seorang pemain yang bijak dan mengujakan anda. Cristiano seperti seorang pelajar, yang sentiasa ingin tahu setiap perlawanan dan sama seperti saya, mahu memberikan terbaik kepada kelab.
“Dia selalu berada di gimnasium dan sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk tingkatkan prestasi. Dia meledak 40 gol dalam musim pertamanya di United dan sejak itu dia mula digelar luar biasa,” kata Giggs.
Bekas pemain tengah United, Giggs mengumumkan persaraannya ketika usia 40 tahun pada 2014 selepas 24 tahun berbakti kepada kelab gergasi England itu.- AGENSI