LONDON: Kepa Arrizabalaga membuat kesilapan ‘bodoh’, Andreas Christensen dibuang padang dan Jorginho gagal menyempurnakan penalti, sekali gus melengkapkan hari malang Chelsea yang tumpas 0-2 kepada Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Reds turut memperkenalkan bintang baharunya, Thiago Alcantara buat kali pertama, namun Sadio Mane mencuri tumpuan dengan meledak dua gol di Stamford Bridge.
Liverpool tiba di London tanpa dua bek tengah, memaksa Fabinho beralih posisi untuk berganding dengan Virgil van Dijk mengekang asakan Timo Werner dan Kai Havertz.
Reds bermula agresif dengan memberi tekanan berterusan kepada tuan rumah sehingga memaksa Arrizabalaga beberapa kali menyelamatkan gawang.
Tekanan demi tekanan daripada Liverpool akhirnya mendorong Christensen membuat kesilapan apabila menjatuhkan Mane ketika pemain itu melakukan larian solo ke kawasan Blues.
Akibatnya dia dilayangkan kad merah lima minit memasuki waktu kecederaan separuh masa pertama.
Beraksi dengan 10 pemain membolehkan Reds mengawal permainan sebaik sahaja babak kedua bersambung, dan Mane meletakkan pelawat di depan menerusi tandukan cantik pada minit ke-51.
Memasuki minit ke-54, Arrizabalaga melakukan kesilapan ‘menakutkan’ apabila dia membuat hantaran lemah kepada rakan sepasukan biarpun Mane berada berhampiran.
Bintang Senegal itu pantas merampas bola sebelum melepaskan rembatan untuk gol kedua Liverpool.
Ini kemenangan kedua berturut-turut buat Liverpool selepas mengalahkan Leeds United 4-3 minggu lalu, sekali gus memberi permulaan yang sempurna buat juara bertahan itu. – AGENSI