MADRID: Real Madrid bersedia melepaskan Gareth Bale pada harga serendah 22 juta pound (RM118 juta) asalkan mereka tidak perlu lagi membayar gajinya yang tinggi.
Bale sebelum ini dilaporkan amat terdesak untuk meninggalkan juara Liga Sepanyol itu tetapi Real keberatan untuk membayar baki gaji dua tahun yang terkandung dalam kontraknya iaitu 30.2 juta pound (RM163 juta).
Menurut akhbar Mundo Deportivo, Real Zinedine Zidane tidak mahu Bale di Santiago Bernabeu tetap ahli lembaga hanya bersedia melepaskan pemain berusia 31 tahun itu jika menerima bayaran yang bersesuaian.
Zidane mengadakan pertemuan dengan Bale minggu ini untuk membincangkan apa langkah seterusnya yang akan diambil.
Real sebelum itu berjaya mengurangkan beban kewangan tahunannya sebanyak 312 juta pound (RM1.62 bilion) apabila menjual James Rodriguez kepada Everton pada harga 20 juta pound (RM108 juta).
Mereka boleh melakukan penjimatan lebih besar jika melepaskan Bale yang dikatakan menerima gaji mingguan, 600,000 pound (RM3.24 juta) sedangkan khidmatnya amat jarang digunakan.
Gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United antara kelab yang berminat mendapatkan Bale, tetapi ia bergantung kepada sama ada mereka dapat membeli pemain muda sensasi Borussia Dortmund, Jadon Sancho.
Tottenham juga berminat untuk membawa pulang bekas pemain mereka itu, tetapi wang akan menjadi isu utama perpindahan.
Bale berkata, dia pernah cuba meninggalkan Madrid untuk menyertai Liga Super China musim lalu tetapi perpindahan itu dihalang oleh Real.
“Saya cuba meninggalkan pasukan tahun lalu dan mereka menghalang semuanya pada saat akhir. Ia adalah projek yang mengujakan saya tetapi ia bukanlah sesuatu yang bersifat material.
“Ada juga beberapa kes saya cuba pergi tetapi kelab tidak membenarkan atau mereka melakukan sesuatu. Saya fikir, biarlah kelab yang menjelaskan apa akan berlaku.
“Apa yang boleh saya katakan? Saya hanya mahu bermain bola sepak dan masih bermotivasi untuk bermain,” kata pemain antarabangsa Wales itu kepada Sky Sports minggu lalu. – AGENSI