KUALA LUMPUR: Aksi konsisten bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) Ramadhan Saifullah Usman mula mendapat perhatian barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Ramadhan, 20, kini telah merekodkan empat gol bersama skuad Harimau Selatan dan ia membuktikan pemain kelahiran Johor Bharu itu memiliki potensi besar yang boleh dipertaruhkan di peringkat antarabangsa.
Menurut pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, beliau mengikuti rapat perkembangan semua pemain muda yang beraksi dalam Liga Malaysia mahupun liga luar.
Tambahnya, Ramadhan mempunyai ciri-ciri pemain menyerang yang berpotensi besar dan jika terus menunjukkan aksi konsisten, sudah pasti dia memiliki masa depan yang cerah.
“Semua pemain yang menunjukkan prestasi yang bagus dalam liga kita akan bagi peluang menyertai kem latihan pasukan negara dan dari situ kita akan nilaikan semula. Kemungkinan besar akan ada ramai muka baharu.
“Memang saya nampak dia (Ramadhan) memiliki potensi besar untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
“Selalunya saya pilih pemain bukan melihat kepada umur tetapi prestasi semasa dan itu kreteria utama.
“Ramadhan walaupun dalam usia muda dan kurang pengalaman yang banyak tetapi dia menunjukkan karatkter sebagai pemain menyerang yang berani untuk mengelecek dan pada masa sama mempunyai penyudah yang baik. Itu ciri-ciri pemain menyerang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ramadhan juga pernah dianugerahkan Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam program ‘Mencari Ramli 5’ dan ketika ini namanya mula menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Dua gol yang diledakan ketika membantu JDT membelasah Selangor 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, semalam membuktikan bahawa pemain muda itu mampu memberi impak besar kepada pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.
Cheng Hoe juga turut mengakui sentiasa mengikuti perkembangan Luqman Hakim Shamsudin yang kini bersama KV Kortrijk (KVK) di Belgium dan juga Dominic Tan di Police Tero (Liga Utama Thailand).
“Semalam kita tengok statistik di mana Dominic dapat bermain dalam kesebelasan utama bersama Police Tero, itu perkembangan positif selain prestasi Luqman di Belgium,” jelasnya.
Tambah bekas pengendali Kedah itu, beliau masih memantau perkembangan semasa pandemik Covid-19 dan jika tiada halangan jadual untuk memanggil pemain menjalani latihan bersama Harimau Malaya akan dilangsungkan.
“Ada perancangan untuk dipanggil tetapi ikut perkembangan semasa Covid-19, adakan perlawanan persahabatan memang sukar dan tempoh latihan mungkin dalam seminggu,” jelasnya.
Sebelum ini, aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung bulan depan terpaksa ditunda ke tahun depan.
Kempen kelayakan itu dijangka akan bersambung semula pada Mac depan dengan skuad kendalian Cheng Hoe kini menghuni tangga kedua Kumpulan G dijadual terbang ke Dubai menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Vietnam di Kuala Lumpur sebelum menamatkan saingan bertemu Thailand di Bangkok.