LENS : Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen Ligue 1 dengan kekalahan apabila pasukan yang menerima kesan akibat Covid-19 itu tewas 1-0 di tangan kelab baharu dinaikan pangkat, Lens, awal pagi tadi.
Juara bertahan liga Perancis itu memulakan perlawanan domestik pertama mereka tanpa tujuh pemain bintang selepas diuji positif Covid-19 termasuk pasangan termahal Neymar dan Kylian Mbappe.
Malah, PSG terpaksa menurunkan penjaga gol ketiga, Marcin Bulka dan pemain berusia 20 tahun itu menghadiahkan kemenangan buat Lens apabila melakukan kesilapan pada minit ke-39 dengan menyaksikan gawang mereka dibolosi.
Tanpa menerima sebarang tekanan dan bermain di bahagian bawah, Bulka melakukan hantaran lemah kepada Marci Verratti yang menyaksikan bola dirampas Ignatius Ganago dan meledak gol dari jarak dekat.
Gol itu adalah jaringan pertama pemain antarabangsa Cameroon itu buat kelab baharunya selepas dibeli dari Nice dan memberi kegembiraan buat 3,800 penyokong di Stade Bollaert-Delelis.
“Saya sangat gembira. Saya rasa bagus dapat mencetak gol dan saya harap akan dapat menjaringkan lebih banyak gol musim ini,” kata Ganago yang berusia 21 tahun. – AGENSI